Tuesday, December 28, 2010

Ketenangan Hati

Hidup ini memerlukan ketenangan hati.... Ada berbagai cara dan bentuk usaha dalam mencari ketenangan hati. Ada cara mencari ketenangan hati itu dengan pergi melancong, membeli belah, makan angin, bersukan, mereka seni, melukis, mengambil gambar, menulis blog dan sebagainya.

Ada pula sebilangan orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara bergaul dengan manusia, berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan alam. Ada juga yang mencari ketenangan jiwa dengan beribadah seperti membaca al-Quran, berzikir, bersembahyang dan mendekati diri dengan Allah SWT.

Tanpa ketenangan hati, manusia akan menghadapi banyak risiko, bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa seperti runsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat membuat pertimbangan.

Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Hati mesti sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat, lalu bersyukur dan apabila diberi ujian kesusahan, lalu bersabar.

Semoga sentiasa bersyukur dan bersangka baik dengan ketentuan Allah SWT dan Allah SWT itu hampir kepada mereka yang sentiasa berserah diri kepada-Nya.


Kupohon pada-Mu walau dalam kesusahan
Kupohon pada-Mu walau dalam kepayahan
Ikhlas itu rahsia Allah
Mudah-mudahan padaku
Rahmat-Mu tercurah
Amin