Monday, March 18, 2013

Penyebar "FITNAH"


Lidah adalah anugerah Allah maka berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata mungkin ada yang tidak disenangi orang lain, tentu sukar untuk kita menariknya balik. Lebih buruk lagi jika orang lain silap mendengarnya.

Allah berfirman yang bermaksud:

Bukankah Kami mengadakan untuk manusia itu dua mata? Lidah dan dua bibir. Dan Kami tunjukkan kepadanya dua jalan (benar dan salah) (Surah al-Balad, ayat 8-10).

Justeru, kita mestilah berhati-hati dalam mengeluarkan percakapan. Jika dikhuatiri mengeluarkan perkataan tidak baik, lebih baik kita berdiam diri. Ini bagi mengelakkan diri daripada menanggung dosa.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik mahupun dia diam (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud:

Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.

Sekiranya berita yang diterima belum diketahui kebenarannya, jangan kita membicara atau menyebarkannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran penting bagi memastikan kita tidak terpedaya dengan berita palsu berunsur fitnah.







Allah berfirman bermaksud:

Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.  (Surah al-Hujurat, ayat 12).