Tuesday, September 15, 2009

LAILATUL QADAR

Sedar atau tidak kita sudah pun berada pada akhir Ramadan yang dirindui oleh para kekasih Allah SWT. Ini bererti Ramadan akan melambaikan salam perpisahannya dalam beberapa hari yang pendek lagi.

Sepatutnya kita perlu merasakan seolah-olah tidak mencukupi dengan saki-baki minit, jam dan hari yang ada pada bulan mulia ini. Masih banyak bukti pengabdian yang belum sempurna dipersembahkan ke hadapan-Nya. Kita pula merasakan hari-hari ini begitu pendek kerana pelbagai kesibukan duniawi apabila mengenangkan Hari Raya yang menjelang tiba. Pelbagai persiapan perlu disediakan dari segi pakaian, rumah dan juadah yang hendak disempurnakan.

Mungkin kah hari terakhir Ramadan ini menjadi pudar dan tenggelam dalam keriuhan ambang Syawal sedangkan akhir Ramadan inilah merupakan peringkat terpenting dalam madrasah Ramadan yang sedang kita lalui ini. Masjid2 & surau tidak lagi menjadi agenda utama seperti awal menyambung Ramadan. Sesungguh malam terakhir Ramadan iaitu malam-malam ganjil dijanjikan oleh Allah Lailatul Qadar. Inilah permintaan Rasulullah (s.a.w) junjungan Nabi kita yang dikasihi kepada Allah Taala iaitu memberi kelebihan kepada umat baginda diakhir zaman disebabkan umat baginda tidak mempunyai umur yang panjang untuk melakukan ibadah terhadap Allah Taala. Allah Ta’ala berfirman al-Dukhan ayat 1-6 yang bermaksud

“ Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. (Iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus rasul-rasul sebagai rahmat dari Rabb-mu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Peringatan ini adalah untuk diri saya jua...segala kebaikan datangnya dari Allah Taala dan kelemahan adalah diri saya.