Sesungguhnya rezeki itu milik Allah, Dia memberi kepada sesiapa yang Dia mahu dan Dia juga berhak mengambilnya semula bila-bila masa yang Dia kehendaki. Oleh itu, bersabar dan bersyukurlah dengan apa yang kita miliki pada hari ini. Biarpun sedikit. Dan. Moga di dalam yang sedikit itu, ada keberkatan. Apatah lagi dalam yang banyak. Jika kita merasa susah, ingatlah bahawasanya lebih ramai manusia yang jauh lebih susah daripada kita. Jika kita keliru dan ternanti-nanti peluang kerja yang lebih baik, ingatlah bahawasanya berapa ramai diluar sana yang menganggur, malahan terpaksa mengemis dan membuat kemungkaran seperti merompak dan mencuri demi mendapatkan sesuap nasi. Syukurlah.. Setidaknya tulang empat kerat kita masih dapat berfungsi dan masih lagi mampu berbakti kepada kita. Alhamdulillah. Kita masih mampu mencari rezeki yang halal. Jangan dikesali kenapa rezeki kita tidak setinggi orang lain.. Seeloknya bermuhasabahlah. Ketahuilah, setiap apa yang Allah tentukan, pasti ada hikmahnya yang tersembunyi. Positif dan optimis sentiasa, moga kita dirahmati Allah. (InsyaAllah)
Bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah pada kita, tak kiralah apa yang kita dapat tu skalanya besar atau kecil. Apa yang penting ialah kita bersyukur, berterima kasih dan memuji Allah swt dengan ucapan (Alhamdulilah) Rasullulah bercerita mengenai masalah rezeki pada para sahabatnya:
“Ini kisah yang disampaikan oleh malaikat Jibril, boleh aku bercerita?” Baginda bertanya pada para sahabat. Para sahabat pun terus mengiyakan dengan penuh teruja. Lalu, Nabi pun mula bercerita suatu kisah mengenai Nabi Sulaiman as yang sedang solat ditepi pantai. Nabi Sulaiman melihat seekor semut berjalan diatas air sambil membawa daun hijau dan pada masa yang sama ia memanggil katak. Setelah itu, muncullah katak dan menggendong semut menuju ke dasar laut. Apa sebenarnya yang terjadi di dasar laut? Semut menceritakan bahawa di dasar laut itu tinggal seekor ulat yang soal rezekinya dipasrahkan pada semut itu “Sehari dua kali aku dihantar malaikat ke dasar laut untuk memberi makanan kepada ulat,” kata semut. “Siapa malaikat itu?” Tanya Nabi Sulaiman as. Semut pun menjawab bahawa malaikat itu adalah si katak yang merupakan jelmaan bagi sang malaikat. Setiap kali menerima daun hijau dan memakannya, si ulat mengucapkan syukur kepada Allah. “Maha Besar Allah yang menakdirkan aku hidup di dalam laut,” kata ulat tersebut. Diakhir ceritanya, rasullulah lalu berkata, “Jika ulat yang tinggal di dasar laut pun Allah masih tetap memberinya makan, adakah Allah sanggup mengabaikan umat Muhammad dalam soal rezeki dan rahmatNya?”Tugas kita bukanlah untuk mempersoalkan kebenaran kisah tersebut. Ambil pengajaran darinya dan yang penting kita faham dengan sebenar-benar faham bahawa setiap yang dinamakan rezeki itu datangnya dari Allah swt dan kita tidak pernah walaupun sedetik dibiarkan tanpa dikurniakan rezeki Allah.