Wednesday, December 29, 2010

Hasad dengki

Perasaan hasad dengki boleh dikatakan dirasai oleh semua orang. Punca dan sebab timbulnya perasaan hasad dengki. Antaranya ialah:

1. Perasaan Permusuhan dan Kebencian.
Perasaan inilah yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Mereka yang disakiti oleh seseorang, pasti berasa marah lalu menimbulkan kebencian. Di sini akan tertanamlah bibit dengki dalam dirinya.

2. Berasa Diri Mulia.
Seseorang itu berasa keberatan kalau ada orang yang mengatasi kebolehannya. Dia tidak rela kalau ada orang lain yang melebihinya.

3. Takbur.
Orang yang mempunyai sifat takbur mempunyai watak suka membesarkan diri terhadap orang lain. Dia selalu memperkecilkan dan suka memperhambakan seseorang. Begitulah halnya dengan sikap Iblis yang takbur, lalu dia dilaknat oleh Allah S.W.T.

4. Takjub.
Allah S.W.T. telah menjelaskan kepada kita perihal umat di zaman silam. Mereka berasa takjub dengan diri mereka sendiri. Keadaan ini menghalang mereka daripada mendapatkan kebenaran.

5. Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan.
Biasanya perasaan ini wujud di kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Setiap orang akan berasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat sesuatu kelebihan. Iri hati kepada kejayaan dan usaha orang lain. Orang lain susah payah berusaha untuk mencapai sesuatu tetapi orang di sekeliling hanya pandai mengutuk, memperlekehkan dan mengumpat orang lain di atas kejayaan itu.

6. Ghairah Untuk Menjadi Ketua dan Mencari Populariti.
Seseorang yang terlalu ghairah untuk mencari populariti atau terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan tertentu akhirnya terdedah kepada sifat hasad dengki. Apabila orang lain berjaya mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan olehnya itu akan timbul hasad dengki.

7. Busuk Hati.
Sekiranya busuk hati ini wujud pada seseorang, akan menyebabkan orang itu tidak suka sesuatu kebaikan diperoleh oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan di hadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, hatinya menjadi sempit dan resah mendengarkannya. Tetapi apabila diketahui pihak lawannya gagal dan menerima nasib malang, dia akan berasa gembira dan suka hati. Bahkan lebih parah daripada itu, orang yang hasad dengki ini merasa sangat gembira bila saudaranya celaka dan binasa.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Takutlah kamu semua akan sifat dengki sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.”

Abul Laits berkata: "Tiga macam orang yang tidak akan diterima doanya iaitu:
  • Orang yang makan hasil haram

  • Orang yang suka membicarakan keburukan orang lain

  • Siapa yang di dalam hatinya ada hasad dengki/irihati terhadap kaum muslimin

Ya Allah, Ya Tuhan kami,
Jauhkan kami dari sifat-sifat hasad dengki,
Permudahkan kami mendapat kebahagiaan dan kejayaan
di dunia dan akhirat.
Amin

Tuesday, December 28, 2010

Ketenangan Hati

Hidup ini memerlukan ketenangan hati.... Ada berbagai cara dan bentuk usaha dalam mencari ketenangan hati. Ada cara mencari ketenangan hati itu dengan pergi melancong, membeli belah, makan angin, bersukan, mereka seni, melukis, mengambil gambar, menulis blog dan sebagainya.

Ada pula sebilangan orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara bergaul dengan manusia, berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan alam. Ada juga yang mencari ketenangan jiwa dengan beribadah seperti membaca al-Quran, berzikir, bersembahyang dan mendekati diri dengan Allah SWT.

Tanpa ketenangan hati, manusia akan menghadapi banyak risiko, bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa seperti runsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat membuat pertimbangan.

Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Hati mesti sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat, lalu bersyukur dan apabila diberi ujian kesusahan, lalu bersabar.

Semoga sentiasa bersyukur dan bersangka baik dengan ketentuan Allah SWT dan Allah SWT itu hampir kepada mereka yang sentiasa berserah diri kepada-Nya.


Kupohon pada-Mu walau dalam kesusahan
Kupohon pada-Mu walau dalam kepayahan
Ikhlas itu rahsia Allah
Mudah-mudahan padaku
Rahmat-Mu tercurah
Amin